Friday, May 17, 2013

NoVeL & DrAmA KaMpUNg GiRL

Assalamualaikum w.b.t

Siapa dah baca novel Kampung Girl ni? Best kan novel ni. Kelakar dan geram pun ada dengan watak-watak dia. Lagi-lagi kerenah Ainnur dan Ashraf tu. Berita baiknya adalah novel ni akan diterjemahkan dalam bentuk cereka iaitu drama bersiri kat TV3 nanti dalam slot Lestary. Dengar cerita akan keluar kat TV3 dalam penghujung tahun ni. Yeay! Tak sabar, tak sabar! Kat bawah ni ada sinopsis novel Kampung Girl ni. Malas nak review ayat sendiri sebab nanti takut penulis lain tak dapat cari makan pulak, hahaha maha perasan aku ni! BTW watak Ainnur best sebab dalam cinta gila-gilanya terhadap Ashraf masih diselitkan dengan sifat sopan, tegas, berdikari dan berani....

Sinopsis Kampung Girl sumber dari sini: Klik sini ye

PERKAHWINAN diaturkan oleh keluarga? Ashraf langsung tidak menyangka! Lebih memeningkan kepala, apabila dia mengetahui nama calon yang disebutkan oleh mummynya, Puan Mazlin. Ainnur! Si budak kampung itu?! Tidak mungkin.
“Orang tak nak kahwin dengan budak kampung tu… mummy jangan paksa Ash!” - Ashraf Khairi.
“Ain akan kahwin dengan abang Ash!” - Ainnur.
Dan jawapan itu cukup untuk membuatkan Ashraf kehilangan kata.
Bergaduh mulut? Itu merupakan perkara biasa bagi Ashraf jika Ainnur ada di depan mata. Pasti ada sahaja perkara yang hendak diperbalahkan.
“Dekat kampung kau tu dah pupus populasi lelaki ke sampai kau kena ke bandar nak cari calon suami?” - Ashraf Khairi.
Dan nada yang sinis itu cukup untuk membuatkan Ainnur naik darah.
Benarlah kata orang, kerana pulut santan binasa… kerana mulut? Jerat terkena diri pemangsa. Rancangan untuk menolak diri Ainnur merupakan titik tolak yang ‘menjahanamkan’ diri Ashraf.
“Ash nak ajak dia beli cincin tunang.” - Ashraf Khairi.
Lain yang dirancang, lain pula jadinya. Pertunangan yang diaturkan merupakan titik yang mengikat diri Ashraf dan Ainnur. Tapi siapa sangka, tarikh pernikahan yang semakin hampir mencemaskan Ainnur dek kerana ada ‘rahsia’ yang disimpan kemas daripada pengetahuan Ashraf. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah keadaan Ainnur di saat terpaksa menghadapi kemarahan Ashraf yang sememangnya sentiasa suka memarahi dirinya.
“And what have you been thinking, doing such thing to me? Nak bagi aku nampak macam orang bodoh…” - Ashraf Khairi.
Kelu lidah Ainnur tidak mampu hendak menjawab. Terkantoi Ainnur dengan helahnya. Kesudahannya… Adakah Ashraf makin membenci? Adakah Ainnur menjauhkan diri? Tidak akan bertemukah dua hati ini? Akan wujudkah satu saat itu, di mana lelaki bandar ini jatuh hati dengan kampung girl yang dibenci?

Jom layan gambar pulak...


Watak utama Ainnur.

Nad Zainal sebagai Ainnur Azmi
Akim Ahmad sebagai Ashraf Khairi

Tak sabar nak tengok gandingan mereka sebagai hero dan heroin Kampung Girl.

Comel je Nad Zainal ni kan...Suka lagu Akim bertajuk Menunggu....

Antara scene Ainnur dengan Ashraf.

Kita sama-sama nantikan drama bersiri ini di kaca TV okey.

Update: Drama Kampung Girl akan ditayangkan lepas drama Sebenarnya Saya Isteri Dia. Kemungkinan tarikh mula ditayangkan 12 Julai 2013....Yeay

Wallahulam....


Wednesday, May 15, 2013

ReSePi AgAr-AgAr SaNtAn GuLa MeLakA


Assalamualaikum w.b.t

Lama tak jengah blog, dan hari ini aku kembali! Taknak cerita panjang lebar sebab post hari ini adalah untuk kongsi resepi yang baru pertama kali buat tadi...

Inilah dia agar-agar santan gula melaka yang aku buat khas untuk Mak...


Bahan-bahan utamanya juga amat mudah didapati. Antaranya ialah :

Agar-agar tali Cap Bulan Bintang ni sangat mudah larut.

Yang ni pula gula melaka. 

Jom aku senaraikan resepi yang sepenuhnya...

Bahan-bahan:

1 peket agar-agar tali 11g
1 buku gula melaka (bergantung banyak mana yang kita suka)
1 sudu makan gula pasir (bergantung manis mana yang kita suka)
3 cawan air 
2 cawan santan pekat (daripada 1/2 biji kelapa)
2 helai daun pandan
Acuan 

Cara-caranya:
1. Gula melaka cincang terlebih dahulu.
2. Campurkan air, daun pandan, gula pasir dan gula melaka dalam periuk dan masak hingga gula larut dan hancur. Kemudian tapiskannya
3. Gula melaka tadi dididihkan semula bersama dengan agar-agar sehingga agar-agar larut. Kacau sekejap-sekejap.
4. Apabila agar-agar dah larut, masukkan santan pekat dan didihkan sebentar dan perlu sentiasa dikacau dengan api sederhana besar. Dah didih padamkan api dan tapis terlebih dahulu bagi mendapatkan cairan agar-agar yang licin dan bolehlah dimasukkan ke dalam acuan kegemaran
5. Sejukkan dan biarkan beku dulu sebelum dipotong.



Nak tahu rasanya, korang kenalah cuba buat dulu ye....

Selamat mencuba!

Wallahualam,

 

Friday, April 5, 2013

DrAmA SeBeNaRnYa SaYa iStEri DiA

 Assalamualaikum w.b.t

Peminat novel Sebenarnya Saya Isteri Dia! jangan ketinggalan menyaksikan adaptasi longgar drama bersiri di Slot Zehra setiap hari Jumaat jam 9 malam. Setakat ini dah 2 episod berlalu dan setakat ini drama ni memang seronok dan teruja. Gandingan yang serasi antara Izzue Islam dengan Tiz Zaqyah sebagai Firash Arshad dan Syafa Aqira.....
Jangan lupa saksikan drama bersiri ini dan jangan lupa dapatkan novel ni! Memang tak rugi....Nak tahu lebih lanjut bolehlah klik sini.





Dulu memang bayangkan Hairul Azreen Idris masa baca novel untuk watak Chad ni tapi bila Izzue lakonkan menepati juga kehendak hati ini. Tiz Zaqyah pula rasannya amat bertepatan, lagi pula Tiz nampak ayu sangat dengan fesyennya dalam drama ni. Sopan dan cantik sangat, Masyaallah....

Sebenarnya tak sabar nak tengok babak yang Chad cemburukan Syaf dengan Hakimi. Watak Hakimi pula dilakonkan oleh Qi Razali. Mesti sangat kelakar.

Uqasha Senrose pula pegang watak Rania yang sangat retis dan gedik sanggup buat apa saja untuk dapatkan Chad. Kita tengok pembawaan watak dia ni sebab belum pernah tengok dia berlakon selain untuk watak kecil dalam Setia Hujung Nyawa. Kalau sesiapa perasan dia ni bawa watak kawan Sofea iaitu bekas tunang Zain Hakimi dalam Setia Hujung Nyawa.

Watak Farish abang kepada Firash dipengang oleh Fezrul Khan. Erk, dia terlalu tua la untuk watak ni sebab masa tengok drama ni Makcik komen kenapa anak nampak lagi tua daripada mak! Erkkkkk....Yela, watak mak mereka iaitu Datin Farizah dipegang oleh Wilma Muhammad yang nampak sangat muda. Suka Wilma Muhammad sekarang, nampak sangat cantik dan lembut je orangnya....

Inilah Wilma Muhammad, Masyaallah cantik dan ayu je orangnya sekarang ni....Semoga dia akan terus bertudung dan dalam barakah Allah sentiasa.....

Okeylah, sampai sini dulu ye. Jangan lupa kita sama-sama tengok drama ni sampai episod terakhir nanti. Semuanya ada 13 episod.

Sabtu nanti 13 April akan diadakan kenduri tahlil untuk Arwah Abah. Semoga majlis berjalan lancar dan rindu sangat kat Arwah. Alhamdulillah sehingga hari ini belum pernah terlepas buat tahlil ringkas untuk arwah setiap malam, semoga Allah akan terus bagi kekuatan.....

Wallahualam

Wednesday, March 13, 2013

AbAh PeRgi SeLaMa-LaMaNya

Assalamualaikum w.b.t

Begitu payah nak hadapi kenyataan yang satu ini, abah aku Ismail bin Ibrahim telah pergi menemui Pencipta buat selama-lamanya pada 28 Februari 2013. Hanya kenangan yang arwah Abah tinggalkan dan satu-satunya harta yang arwah tinggalkan adalah mak yang akan aku jaga sehingga hujung nyawanya. Pemergian arwah tanpa aku sangka dan perubahan sikap menjadi tanda yang dia akan pergi selama-lamanya....

"Akak sayang abah sangat, akak janji akan jaga mak dan adik-adik dan jadi ketua keluarga untuk keluarga kita. Akak akan jadi pengganti abah. Macam mana abah jaga keluarga macam tu jugaklah akak akan jaga keluarga kita. Akak akan pikul tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya. Akak akan buktikan pada abah yang akak akan berjaya dan membanggakan kita sekeluarga. In Shaa Allah, Adik akan tamatkan pengajian nanti dan impian Abah akan tercapai tak lama lagi. Keluarga kita akan senang dan dah tak susah lagi. Akak akan selalu ingat segala pesan abah untuk jadi anak yang solehah dan akak akan selalu ingatkan adik-adik. Kami akan jaga solat, jaga aurat dan tingkah laku kami dan akan selalu titipkan doa-doa untuk Abah di sana. Akak akan berusaha sedaya upaya Akak uttuk melindungi keluarga kita. Tiada sesiapa pun yang akan menyakiti keluarga kita lagi dan Akak akan sentiasa berdoa semoga kita sekeluarga akan berkumpul bersama-sama di Sana nanti. Doa Mak, Akak Mimi dan Adik sentiasa akan mengiringi Abah sehingga akhir hayat kami. Semoga Abah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan kami akan berusaha menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, In Shaa Allah...." 

 Kenangan raya kami sekeluarga lebih kurang 8 tahun lepas semasa Mak masih sihat.

 Masa ni Abah racun rumput. Kami ketawa berdekah-dekah dengan gelagat dia pakai helmet masa meracun.

 Masa ni Mak dah buat dialisis dan mata masih lagi dapat melihat. Ini masa hantar aku kat Melaka Sentral nak konvo kat UUM. Aku konvo sorang-sorang je. Allah je yang tahu perasaan aku masa tu. Terkilan sebab Mak Abah tak dapat tengok aku konvo. Impian Abah yang tak tercapai adalah nak tengok Adik konvo Master. Dia nak sangat pergi masa Adik konvo nanti, tapi Allah lebih sayangkan Abah. Kami redha dan berdoa semoga Adik akan habiskan pengajiannya dengan cemerlang. In Shaa Allah.....

 Kami bangga jadi anak-anak Abah. Kami sayang abah sangat dan In Shaa Allah kita akan berkumpul sekeluarga nanti di Akhirat sana...

 Abah Ismail Bin Ibrahim seorang yang sangat penyabar dan tak pernah marah kami adik beradik, tak pernah merungut dan selalu pentingkan kami adik beradik. Abah selalu cakap, "buat kerja kena ikhlas kerana Allah, Biar Abah susah asalkan anak-anak dan isteri abah senang.". Abah bahagia dapat hantar dan teman Mak dialisis dan sekarang tanggungjawab tu aku yang pikul, aku akan lakukan sama macam Abah, ikhlas dan bahagia dapat teman dan hantar Mak dialisis.

Al-Fatihah buat Abah Almarhum Ismail Bin Ibrahim, pemergian dan kehilangan Abah yang tak kami sangka. In Shaa Allah kami akan jaga harta yang paling abah sayang iaitu Mak sebaik-baiknya. Tenanglah Abah di Sana dan kami akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Abah di Sana, Tunggulah kami dan kita akan bersatu lagi nanti, In Shaa Allah...

Wallahualam,

Tuesday, February 5, 2013

ReSePi KaYa (HoMeMaDe)

Assalamualaikum w.b.t

Siapa suka makan roti? Apalagi roti bakar yang disapu dengan planta dan kaya, Masyallah sedapnya! Hari ni aku nak "share" buat homemade kaya atau English kita panggil Coconut Jam yang sapu kat roti tu. Biasa kita beli yang dah siap kan, tapi kali ni apa kata kita buat sendiri dan pasti rasa puas hati sebab terjamin buatannya....In Shaa Allah

Ini antara jenama kaya yang ada dalam pasaran kita....

 Ini kaya daripada AgroMas.
 Yang ini pula daripada Yeo's

Aku sendiri pun bukan penggemar kaya, tapi atas desakan daripada mak suruh belajar buat kaya, jadi aku pun cuba la. Tengok cara buat kat Youtube dan cari resepi kat blog-blog masakan. Pertama kali buat dulu dia jadi berketul-ketul keras sebab gula terlalu hangus. Kali kedua pulak tak berkilat dan kena "blend" baru jadi cair dan akhirnya kali ketiga barulah menjadi lepas tahu cara yang macam mana boleh hasilkan kaya yang sebenar-benarnya kaya. :)

.
 Inilah hasilnya, "soooo creamy". Cedok guna sudu dan meleleh je macam ni, apatah lagi kalau sapu roti bakar, walla!

 Kaya yang baru siap!

Disapu atas roti yang terlebih garing, sangat rangup dan rasa yang pasti menyelerakan....

Resepi kaya :

Bahan-bahan:

3 biji telur
150g santan pekat
8 sudu besar gula
sehelai daun pandan
2 sudu besar gula melaka yang telah dihancurkan

Cara-caranya:

1. Pukul telur bersama 4 sudu besar gula sehingga larut. Kemudian masukkan santan pekat dan kacau rata. Biarkan sebentar  sementara kita buat gula hangus.
2. 4 sudu besar gula dibuat gula hangus di atas api yang kecil. Perlu sentiasa dikacau sehingga gula larut dan cair. kemudian masukkan gula melaka yang telah dihancurkan.
3. Sementara itu, panaskan air di dalam kuali atau periuk untuk kita kacau kaya secara double boiler.
4. Kemudian, masukkan bahan cecair tadi ke dalan kuali gula hangus bersama-sama daun pandan dan dimasak di atas kuali/periuk air panas tadi dan masak secara double boiler.
5. Teruskan mengacau sehingga menjadi sedikit pekat dan tidak berketul-ketul.
6. Siap dan masa untuk menikmatinya.....

Selamat mencuba...

Wallahualam

Monday, January 21, 2013

HiDuP AdALaH.....

Assalamualaikum w.b.t.

Apa makna hidup pada pendapat kalian? Semakin bertambah hidup kita maka semakin kuranglah baki hidup kita.... Tapi apa itu hidup?

Termenung lama aku bila aku memikirkan apa itu hidup. Apa yang aku faham maksud dan makna hidup? Allahu Akhbar! Apa yang aku rasa tentang hidup adalah PELUANG!

Pada pemikiran dan apa yang dapat aku terjemahkan tentang erti hidup, HIDUP ADALAH PELUANG, HIDUP ADALAH KESEMPATAN!

  •  Peluang untuk jadi khalifah (pentadbir, penguasa) di atas muka bumi Allah yang sangat luas. Kena bertanggungjawab tunaikan segala tanggungjawab yang diamanahkan untuk diri, agama dan masyarakat. 
  • Peluang untuk jadi umat dan manusia yang berguna untuk sama-sama berjuang menjaga hak agama dan hak Allah. Perbaiki diri dan sentiasa perlu muhasabah segala keburukan diri supaya kita dapat nikmat Islam, Iman dan Ihsan.
  • Peluang untuk jadi anak yang dapat berbakti kepada kedua ibu bapa selagi ada hayat mereka.  Sentiasa mendoakan dan berbakti kepada keduanya.
  • Peluang untuk merasa jadi seperti kedua ibu bapa kita, merasa jadi muda dan tua seperti ibu bapa kita jika Allah panjangkan umur kita.
  • Peluang untuk menikmati kenikmatan dunia yang sementara, sebab tu jangan selalu leka dengan kegembiraan dunia, kena selalu bersyukur sebab semua yang kita ada kat atas dunia ni pinjaman semata-mata.

Aku dah banyak sia-siakan peluang yang ada, banyak membazir waktu padahal waktu dan peluang yang ada semakin suntuk. Aku leka dengan nikmat dunia yang sementara. Aku selalu hancurkan diri dengan kenikmatan duniawi. 

Apa bekal yang akan aku bawa ketika menghadapMu nanti YA ALLAH?
Mana janji yang aku ikrarkan ketika Kau ingin beri aku peluang dulu?
Aku selalu jadi manusia yang ingkar dan lalai. Malunya aku ingin berhadapan denganMu YA ALLAH....
Aku sia-siakan peluang yang ada....

Semoga kita sama-sama perbaiki diri dan menjadi yang terbaik dalam mendapatkan sesuatu yang terbaik di sana nanti, In Shaa Allah....

Malam tadi aku baca tafsir Al-Quran sampai ayat ni, dan maknanya membuatkan aku sedar, apa itu hidup!

"Allah berfirman: Wahai Daud! sesungguhnya engkau Kami jadikan khalifah (penguasa) di bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan engkau daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan." (Ayat 26: Surah SAD)

Wallahualam,

Tuesday, January 15, 2013

7 TiPs CeGaH DiABeTeS


Assalamualaikum w.b.t

Entri kali ni istimewa sikit daripada biasa sebab entri ini adalah berkaitan dengan tips untuk mencegah penyakit yang sangat berleluasa dikalangan masyarakat kita sekarang ini. Penyakit tidak berjangkit ini merupakan satu penyakit kronik yang mana badan tidak mampu untuk menukarkan makanan kepada tenaga. Dalam cakap mudah ialah, terdapat glukos (gula) dalam air kencing. Ini berlaku sebab gula dalam darah tak dapat nak dicernakan oleh badan untuk jadi tenaga disebabkan oleh kekurangan penghasilan insulin, kurang keberkesanan insulin atau kedua-duanya sekali. Sebab itulah dinamakan kencing manis, gula yang berlebihan akan dikeluarkan bersama air kencing. Gula yang tak dapat dikeluarkan akan jadi semakin banyak dalam darah dan menyebabkan kita semakin berisiko untuk mendapat pelbagai penyakit lain yang berangkai-rangkai seperti penyakit jantung, buah pinggang dan lain-lain.
Nak tahu dengan lebih mendalam apa itu kencing manis bolehlah klik sini. Sila baca dan fahamkan sebab semakin ramai warga Malaysia sekarang ni tak kira usia sama ada dewasa, remaja malah kanak-kanak pun ramai yang berisiko terhadap penyakit ini.

Banyak jugalah keratan yang aku kumpul dan baru sekarang aku dapat "post" dalam blog ni. Sebenarnya sejak dari bangku sekolah lagi aku akan ambil keratan untuk penulisan BM dlu jadi sehingga sekarang terbiasa lagi dengan "habit" ini..Tips ni aku petik daripada Berita Harian edisi 13 Disember 2012.

7 Tips Mencegah Penyakit Kencing Manis

  1. Pantau Body Mass Index (BMI) anda secara berkala.
Aku sarankan buat satu Diari Kesihatan / Diari Diet di mana korang boleh catatkan berat korang setiap bulan dalam diari tu supaya kita dapat lihat "progress" berat badan kita untuk capai berat ideal.  Aku punya diari diet adalah rahsia jadi tak boleh nak tunjuk kat korang, hehehe....Nantilah aku buat lawa-lawa barulah boleh tunjuk kan. Di bawah ni ada satu carta sebagai panduan untuk memudahkan kita mengetahui kedudukan BMI kita.


Ini adalah contoh cara pengiraan BMI. Ada seorang kakak, berat dia 60kg dan tinggi dia 170cm.  Jom kita kirakan BMI dia secara manual ek...

Ini adalah Formula BMI.
BMI = Berat (kg) / [Tinggi (m) x Tinggi (m)]

Mula-mula tukarkan tinggi dia daripada cm (Sentimeter) kepada m (Meter).
170cm / 100 = 1.70m
Kemudian masukkan dalam Formula BMI
 BMI = Berat (kg) / [Tinggi (m) x Tinggi (m)]
= 60 / (1.70 x 1.70) 
= 60 / 2.89
= 20.8
 BMI untuk kakak ni adalah dalam kategori normal dan kalau berpandukan carta BMI di atas, berat dan ketinggian dia adalah sihat...

 Nota Sihat:
  " Perlu diingatkan bahawa BMI bukanlah cara yang efektif untuk menentukan tahap kesihatan fizikal kita. mengikut kata Kevin Zahri, boleh klik sini. Nak tahu dan kenal pasti fizikal kita ni sama ada "underweight", "healthy" ataupun "overweight" ataupun "obese" senang je dan cara ni mungkin lebih efektif adalah dengan melihat diri kita kat CERMIN. Cermin tu la nanti akan beritahu bentuk fizikal kita. Tak percaya, pergi depan cermin sekarang! Terima kasih En. Kevin Zahri, kata-kata anda sangat berkesan.."Mirror mirror on the wall, Am I slim or fat?..hehehe

  1. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran 
 Nampak tak gambar di bawah ni? Masyaallah, bermacam-macam warna ada dan nampak pun sangat menyelerakan, nyum....nyummmmm.....
Apalagi, penuhkanlah peti sejuk korang dan susun list pembelian untuk snek korang semula. Gantikan snek keropok "cekedis" dan Cadbury dengan buat salad buah dan sayur. Fulamak korang, best. 
Tips makan snek:

  • Janganlah kata salad buah korang pergi gaul dengan mayonis pulak ye. Sebagai alternatif korang gaul je dengan yogurt rendah lemak. 
  • Lagi satu, masa waktu di antara waktu makan contoh waktu antara waktu makan tengahari dan makan malam iaitu dalam jam 3.00pm-5.00pm korang boleh banyakkan makan buah-buahan. Jadi masa ni takdelah korang nak makan pisang goreng, cekodok, rojak atau apa-apa je la snek petang korang yang tinggi kalori tu. Snek korang tu boleh makan, tapi janganlah setiap hari, kesian kat badan kita ni hari-hari kena sumbat benda berminyak, bergula dan bergaram. Apa salahnya sesekali ganti dengan snek yang bervitamin semulajadi kan....
  • Jangan ambil buah-buahan yang terlalu manis selepas pukul 5.00pm ye sebab gula yang ada dalam buah tu akan diproses jadi lemak sebab selepas jam 5.00 biasanya badan kita dah kurang sikit aktif fizikalnya. Makna kata, konon-konon korang tak nak makan malam dengan ambil nasi tapi korang nak makan ringan dengan ambil salad buah, aku sangat tak galakkan sebab sama je kalau korang ambil nasi atau salad buah sebagai makan malam sebab akhirnya nanti akan jadi lemak jugak. Bezanya cuma, lemak nasi lebih sikit je daripada lemak buah. 
  1. Bergerak aktif dan bersenam 
 Aku antara manusia yang sangat malas nak bersenam. Ala, aku percaya ramai lagi kat luar sana tu pun macam aku liat nak bersenam. Memang rasa cukup malas dan takde mood kalau tak digagahkan juga badan ni. Tapi sekarang ni, alhamdulillah, mahu jugaklah dan tak malas sangat lah. Tak bersenam pun takpe asalkan korang banyakkan bergerak pun dah cukup. 

 Antara aktiviti / gerakan yang tolong bakar kalori ialah:

1. "Window Shopping" -  Jalan-jalan kat "shopping complex" tu pun boleh tolong bakar kalori tau. Tapi janganlah da penat bakar kalori korang pergi pulak makan KFC dan yang sewaktu dengannya ye. Habislah usaha korang tu. Sayang "beb" 243 kalori yang da dibakar tadi tu. Alternatif lain, kalau dah "beriya-iya" sangat nak makan, sebelum mulakan "shopping" tu korang pergilah makan dulu. Lepas tu baru "shopping" jadi cara ni jugak bolehlah tolong bakar kalori tu. 

2.  Bersihkan rumah, cuci kereta sendiri, memasak - Dianggarkan sehingga 80-100 kalori akan dibakar selama setengah jam aktiviti membersihkan rumah dilakukan. Sekurang-kurangnya seminggu sekali. Apalagi jangan malas lagi dah lepas ni nak buat semua tu di rumah ye.

3. Telefon - Siapa yang suka bergayut? Haaaa mesti ramainya la antara korang yang suka bergayut atau berbual di telefon ni. Apa kata masa korang bergayut tu, korang bercakap sambil berdiri pastu buatlah aksi turun naik sikit ataupun berjalan. Cara ni lebih baik daripada korang hanya berbual sambil duduk dan berbaring tanpa sebarang gerakan kan....

4. Tempat kerja - Ramai orang yang kerja kat dalam pejabat dan semestinya berhawa dingin kan. Dah Bertuah sangat korang dapat kerja kat tempat selesa jadi janganlah manjakan sangat badan tu ye. Apa kata sebelum ni kan korang susun fail atau ambil fail kat rak, meja dan tempat-tempat yang dekat-dekat tu korang suka jalan sambil duduk, maknanya jalan dengan duduk atas kerusi yang beroda tu la korang tukar cara dengan betul-betul berdiri dan berjalan dengan buat semua aktiviti ini korang boleh bakar sekurang-kurangnya 80 kalori tau sepanjang waktu kerja tu. Ini tak campur lagi dengan korang pergi tandas, masuk keluar bilik bos, turun naik tangga, jalan ke tempat parking dan macam-macam lagi lah. 

Buat perlahan-lahan, nanti lama-lama biasalah. Bergantung kreativiti anda untuk buat aktiviti yang anda rasakan boleh membuatkan anda bergerak aktif dan cergas ye....
  1. Hindari rokok dan alkohol
 Rokok membahayakan kesihatan! Tak perlulah gatal-gatal nak mencuba merokok. Tak berbaloi pun malah lagi menyeksakan anda. Klik sini dan nanti barulah tahu apa itu rokok ye. Buat apalah nak rajin pergi hisap racun ni. Bagi lelaki mungkin nampak sikit "macho" la kot, tapi untuk wanita pulak apa ek? Dapat hilang stress kot....Lagi satu, bila merokok, kesan penyakit yang timbul adalah dalam jangka waktu yang panjang, maknanya bukan anda merokok hari ini, esok terus anda dapat sakit. Mungkin dalam masa 10 tahun atau paling awal 5 tahun. Ini cuma jangkaan dan ramalan sahaja, tapi bila kita dah jadi tegar dengan rokok, rata-ratanya susah nak tinggalkan sebab mungkin dah sebati. Tapi tak mustahil seseorang tu boleh tinggalkan rokok kan, asalkan ada kemahuan dan azam yang kuat In Shaa Allah. Sentiasa positif ok!
  1. Ketahui faktor risiko
 Kenal pasti faktor-faktor yang boleh membawa anda kepada risiko penyakit ini. Contoh faktor yang menyebabkan penyakit ini adalah gaya pemakanan, umur dan kadar metabolisme badan, wanita hamil yang pernah mempunyai sejarah kencing manis ketika hamil, menghidap penyakit darah tinggi, ahli keluarga yang ada penyakit ini, kesihatan fizikal dan sebagainya. Bila korang dah kenal pasti, korang perlu kaji dan analisis macam mana cara yang korang boleh lakukan agar dapat mencegah penyakit ini.  Sebagai contoh mudah, faktor risiko yang paling utama bagi seseorang tu adalah kesihatan fizikalnya. 
Dia seorang wanita, berusia awal 30an, tinggi 150cm dan berat 70kg. Dengan data yang ada, tahulah kita bahawa dia mempunyai tahap fizikal yang aku kira melebihi normal. Jadi apa solusi untuk dia mengurangkan risiko penyakit ini? Dia perlu mengurangkan berat badan kepada bentuk fizikal yang normal. Caranya, dengan mengamalkan diet dan pemakanan yang seimbang sehinggalah dia mendapat berat ideal. 
  1. Jalani pemeriksaan saringan diabetes

Jika anda memang berisiko, disarankan anda menjalani ujian saringan di klinik, poliklinik, dan hospital yang berdekatan sebagai langkah awal pencegahan. Pemeriksaan boleh dilakukan setahun sekali atau setiap 6 bulan.  Dapatkan informasi daripada yang pakar. Paling tidak pun, anda perlu mempunyai mesin untuk memeriksa glukos di farmasi-farmasi. Langkah awal dapat mencegah daripada terlewat.
Berikut ini adalah bacaan gula/glukos dalam darah kita dan ini dapat dijadikan penanda aras bagi kita menjaga tahap kesihatan kita dari masa ke masa  

   7. Ubah gaya hidup    
Gaya hidup yang sihat dapat membantu mencegah segala jenis penyakit berisiko. Gaya pemakanan termasuk juga dalam sari pati gaya hidup. Ubah cara pemakanan anda perlahan-lahan dan jangan terlalu drastik sebab kita mengharapkan perubahan yang berkekalan bukan perubahan yang sementara. Tetapkan sasaran untuk ubah gaya hidup kita.

Buat satu buku kecil atau seperti yang aku cadangkan buat Diari Diet. Korang boleh tulis apa tabiat yang korang nak ubah dan cuba capainya, In Shaa Allah korang akan nampak perbezaan / perubahan selepas korang buat analisis diet korang tu.

Amalan Saya            : Suka makanan ringan / "Fastfood" - 5x seminggu
Sasaran Saya            : Kurangkan makanan ringan / "Fastfood" - 2x seminggu



Walau apa pun caranya, pastikan korang dapatkan bantuan daripada mereka yang pakar dan dapatkan penerangan terperinci daripada laman web, doktor kesihatan dan sebagainya. Kalaupun anda sudah disahkan sebagai penghidap, jangan jadikan penyakit anda sebagai alasan untuk anda berputus asa dan ambil mudah dengan kesihatan anda sekarang. Kuatkan semangat dan belajar untuk lebih menghargai kesihatan yang Allah pinjamkan sebagai nikmat kehidupan. Tapi jangan terlalu melampau dengan nikmat itu sampai lupa diri atau kata yang lebih mudah - Makan Tak Ingat. Makan berpada-pada jangan nanti satu hari kita langsung tak boleh menikmati makanan tu. Kita hidup untuk dapatkan 3 nikmat iaitu:
1. Nikmat hidup (kekayaan dan kemewahan, kejayaan)
2. Nikmat kesihatan (kesihatan)
3. Nikmat rohani (kebajikan, ibadah,)

Sekarang ni aku sarapan dengan 1 liter shake setiap hari. Ini adalah sarapan pagi dan makan tengahari sekaligus. Kenyang sampai petang. Alhamdulillah....
Nyum....nyummmm....Sedap dan kenyang. Lagi-lagi perasa coklat ni. 1 liter ni aku letak 4 scoop F1 coklat dan 1 scoop milo....shake....shake....minum....minum....hehehe

Masyaallah, buih dia....sedap tau! sekali cuba pasti nak lagi...

Inilah cara yang aku gunakan sekarang untuk menjaga tahap kesihatan aku. Alhamdulillah, bacaan glukos tanpa berpuasa 4.6mmol. Dah setahun aku dengan Herbalife dan In Shaa Allah akan terus dengan Herbalife. Mak penghidap kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang, jadi risiko aku sangat tinggi, 60% kemungkinan dan seboleh-bolehnya aku tak nak ikut jejak langkah itu, tapi walau apa pun, aku berusaha dan bertawakal semoga Allah terus memberi nikmat kesihatan kepada kita semua, In Shaa Allah....

Wallahualam


















Aku apa Adanya Aku....❤

Hampir 2 tahun aku menghilangkan diri daripada dunia blogger. Dunia penceritaan perihal kehidupan. Kehidupan seorang insan biasa yang tak...